Zairo part 1


“Amin…”
Selesai bacaan yasin, doa selepas membaca yasin dan jugak sedikit doa tanda ingatan buat hamba Allah yang sudah tiada. Malam jumaat sebegini memang akan dihiasi dengan bacaan yasin untuk disedekahkan kepada insan yang telah pergi lebih awal daripada kita. Zairo hanya memandang sayu tikar sembahyang tempat dia melabuhkan punggung. Sayu dan rindu. Sayu mengenangkan ahli keluarga yang sudah tiada dan rindu akan senda tawa mereka. Zairo bangun dari tikar sembahyang dan menyeka air yang bergenang di kelopak mata. Entah mengapa pabila selesai membaca yasin pada setiap malam jumaat, perasaannya bertukar menjadi hiba. Hiba yang teramat sangat. Mungkin Zairo masih belum mampu bangkit dari kisah sedih yang berlaku kira-kira setahun yang lalu. Peristiwa yang mengubah keseluruhan dirinya. Peristiwa yang menyebabkan dia hilang kehidupannya.  Zairo masih berasa sesal kerana dia tidak berada hampir dengan kedua ibu-bapa dan kedua adik beradiknya semasa peristiwa itu berlaku. Zairo kecewa kerana dia tidak berpeluang berjumpa mereka buat kali terakhir. Peristiwa itu seolah satu tusukan padu di dalam hidup Zairo. Tiap kali dia melalui jalan itu, pasti ingatannya tidak dapat lari dari memikirkan kedua ibu-bapanya dan adik beradik yang sudah tiada.

Malam makin larut. Angin semakin kencang bertiup. Mungkin hujan sedang menunggu giliran untuk menyimbah bumi Tuhan ini. Zairo memusing kepala kearah kanan.  Memandang sepi sebuah bungkusan makanan yang seperti tidak dihiraukan itu. Ada seketul ayam goreng, sedikit kuah kurma ayam, dan nasi kira-kira satu mangkuk setengah di dalamnya. Di tepinya terlihat satu bungkusan yang diikat di bahagian tepi dengan air limau ais di dalamnya.  Zairo ingin mengisi perut yang sudah berkeroncong dari petang tadi. Sejak peristiwa sedih itu berlaku, rutin makan Zairo turut seiring berubah. Beliau tidak lagi makan seperti dahulu, iaitu makan 4 kali sekali. Sekarang beliau hanya makan sekali sehari, buktinya boleh dilihat pada tubuh badannya yang semakin melidi.  Jika tidak petang, malam baru Zairo akan makan. Untuk makan tengah hari seperti manusia lainnya memang sudah menjadi perkara ganjil dalam hidup Zairo, malah cocoklah dengan kehidupannya kini yang bila azan Asar berkumandang baru celik biji mata. Mungkin memikirkan dirinya kini seorang penganggur, jadi tiada keperluan untuk bangun awal pagi seperti orang lain. 

Zairo menghampiri bungkusan makanan yang dibelinya di gerai tepi jalan yang hanya 10 langkah dari pintu pagar sebuah sekolah rendah. Hari ini, makcik pemilik gerai itu bermurah hati memberi nasi lebih banyak dari biasa kepada Zairo. Mungkin makcik ini juga perasan akan perubahan badan Zairo yang semakin melidi sejak akhir-akhir ini. Hanya ucapan terima kasih yang mampu Zairo lafazkan tatkala melihat makcik itu menyenduk nasi lebih ke dalam polisterinenya.

“Nak,makan banyak sikit nak,dah makin kurus makcik tengok kamu tu”

“InsyaAllah makcik, saya akan cuba, makcik sorang je ke hari ini, anak makcik ke mana?”

“Owh anak makcik ke bandar, buat apa tu orang panggil medical cek ke apa entah, tak reti makcik nak menyebutnya, alah yang suruh doktor cek tu, nak tengok ada penyakit ke tidak”

“Owh itu medical check-up makcik, kenapa dia buat medical check-up,ada nak sambung belajar ke mana-mana ke makcik?”

“Ha ah, dia dapat sambung belajar ke UiTM, syukur Alhamdulillah, tak sangka dapat jugak dia sambung belajar, harapnya nanti dapat dia ubah nasib keluarga kami ini”

“InsyaAllah makcik, InsyaAllah” Zairo hanya mengukir senyuman.

Zairo membuka bungkusan itu dan menyuap nasi ke dalam mulut. Sedap, sedap seperti biasa. Namun, kunyahan Zairo terhenti seketika. Dia terkenangkan perbualan bersama makcik itu. Dari perbualan itu, dapat disimpulkan oleh Zairo betapa besarnya harapan makcik itu terhadap anak perempuannya itu. Sama seperti besarnya harapan kedua ibu-bapanya dulu semasa beliau dapat melanjutkan pelajaran ke UiTM.

“Nanti bila abang dah masuk UiTM, abang belajar rajin-rajin, kejar impian abang, ummi tak mintak abang tanggung ummi, asalkan nanti abang dapat tanggung keluarga abang sendiri pon ummi dah cukup bahagia dah”

Terngiang-ngiang pesanan arwah ibu di telinga Zairo. Sebelum dia masuk ke UiTM dulu, memang besar harapan keluarga diletakkan di atas bahunya. Dan selepas 6 tahun berhempas pulas di UiTM demi mengejar segulung diploma dan ijazah, akhirnya Zairo dapat apa yang diidamkan. Tapi, adakah impiannya tercapai? Apakah impiannya adalah untuk menjadi seorang pengganggur yang hidup bergantung kepada duit insurans yang diperolehi selepas kematian kedua ibu bapanya?

Lamunan Zairo dikejutkan dengan getaran dari telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja. Jarang-jarang ada orang menghantar mesej pada tika waktu sebegini. Mungkin mesej ingin bertanya khabar dari kenalan lama. Telefon bimbit berjenama Nokia itu dicapai dengan sebelah tangan sambil Zairo ligat memikirkan siapa yang menghantar mesej kepadanya.

“Cehh, promosi dari Celcom rupanya, buang karan betul,huh!”

Zairo hanya mencebik melihat mesej yang baru dibaca itu adalah dari Celcom. Usai memadam mesej itu, terlihat Zairo seperti mengetip bibirnya yang kering itu. Mungkin tidak terlihat pada wajahnya, tapi jauh di sudut hati, Zairo amat menantikan mesej dari seseorang, seseorang yang pernah membahagiakan dia satu ketika dahulu. Tapi, itu cerita lama dahulu.

Zairo menghampiri kembali bungkusan makanan yang ditinggalkan sebentar tadi. Zairo ingin menyambung semula makan selepas terganggu oleh mesej yang diterima oleh Celcom tadi. Walaupun menyambung semula makan selepas berhenti seketika amat tidak menyeronokkan, tetapi terasa sayang pula untuk membuang makanan yang masih berbaki separuh itu. Zairo mengambil keputusan untuk menyambung semula makan walaupun nikmat kesedapan itu sudah berkurang sedikit. Sedang menguyah-nguyah makanan di dalam mulut, Zairo dapat merasakan malamnya begitu sunyi sekali. Dahulu, ketika peristiwa itu belum berlaku, rumah di pinggir kampung ini cukup meriah. Pukul 8.30 malam, semua sudah duduk berkumpul di hadapan meja untuk menikmati makan malam bersama.  Ummi sentiasa riuh ketika menghidangkan makanan. Ada sahaja bebelan yang keluar dari mulutnya. Ummi seringkali lupa untuk meletakkan sudu di dalam setiap hidangannya, dan tanggungjawab itu biasanya akan dibereskan oleh Zairo. Mimi, adik perempuan Zairo, pula sering bertelagah dengan Zamri, adik lelaki Zairo.

“Mimi, kau buatlah air tea-o, dekat rumah ni semua minum tea-o, kau sorang je yang minum milo”

“Ahh takde takde, adik nak buat milo jugak, angah nak minum tea-o, angah buat sendiri”

“Sudah, jangan bergaduh, ayah nak minum fresh orange hari ni, semua kena ikut,ummi!! buat fresh orange malam ini” Ayah, selaku ketua keluarga, mula bersuara.

“Hahahahaha” kami semua ketawa serentak. Akhirnya, tiada milo atau tea-o pada malam itu,sebaliknya semua kena minum fresh orange.

Mata Zairo mula bergenang pabila teringat akan kenangan itu. Kenangan makan bersama-sama keluarga. Di meja makan itulah tempat di mana semua ahli keluarga berkumpul, bergurau senda dan sekali sekala berselisih faham. Ayah, selalu ada untuk meleraikan pergaduhan diantara adik beradik ini.

Tetapi, kini meja makan itu hanyalah sebuah perabot usang yang langsung tidak terusik. Tiada lagi makanan yang dihidangkan di atasnya, tengah hari atau malam, sebaliknya kini menjadi tempat untuk cicak yang berada diatas sana untuk melepaskan apa yang digelar tahi cicak. 

Zairo bangun menghampiri meja makan usang ini. Terlihat beberapa ketul najis cicak yang mampu membantutkan selera makan. Zairo hanya menggelengkan kepala. Tidak sanggup melihat meja makan yang sering menjadi tempat sekeluarga berkumpul itu kini berada dalam keadaaan yang menjijikkan.  Perlahan –lahan Zairo mengelap dan membuang segala kotoran yang terdapat di atas meja makan itu menggunakan kain buruk yang baru sahaja diambil oleh beliau di dapur sebentar tadi. Sedang leka mengemas meja makan itu, telinga Zairo tertancap akan deringan daripada telefon bimbitnya.

“Arghh Celcom ni,banyak pulak hantar mesej malam ni”

Zairo membuka inbox telefon bimbitnya dan terlihat sekeping mesej yang belum dibaca. Tatkala membuka mesej itu, wajah Zairo berubah serta merta. Mesej ini memang mengejutkannya, bukan isi kandungannya tetapi….pengirimnya. Seseorang yang pernah membuat dia khayal dalam alam cinta.

Hadirmu bagaikan bidadari
Melengkapkan langkahku kan terhenti
Kaulah permaisuri gelap dunia tanpamu
Umpama nafasku kan terhenti
Jika kau hilang dalam hidup ini
Percayalah kasih cintaku padamu                                                       tomok – bagaikan bidadari

p/s: cerita yang dah lama aku tulis, novel Kenangan di Puncak sudah tidak banyak, boleh order jika tidak mahu terlepas



2 coretan ikhlas:

Eja Razif said...

kesianya Zairo nih, family dia accident eh..?

Liyana Mahmood said...

sensitif sikit bab2 kehilangan-keluarga ni.. :'(