Mungkin Ada Mungkin Tiada

Aku berpakaian ringkas hari ini. Tiada pakaian berjenama, sebaliknya hanya t-shirt yang di dadanya terpampang logo rekaan aku sendiri. Di bahagian bawah, tersarung seluar jeans lusuh dan aku selesa bersepatu getah jenama fipper. Aku sedang menaiki eskalator. Ada empat kesemuanya yang harus aku naiki sebelum tiba ke destinasi yang ditujui. Sepanjang aku menaiki eskalator, pelbagai ragam manusia yang boleh aku lihat. Paling aku ingat, seorang gadis yang menjengil kembali kepadaku usai menyedari mataku tidak lepas dari memandang kearahnya.

Jujur, dia berjaya menarik perhatianku. Kalung yang tersarung di lehernya membuatkan aku tidak lepas dari memandangnya. Aku sudah sampai di tingkat empat. Mata aku meliar memandang kearah premis yang tidak pernah gagal memberi ketenangan kepada aku. Entah mengapa, aku semacam rasa selesa bila berada di dalam premis ini. Mungkin kerana semasa di dalam, aku dikelilingi oleh mereka-mereka yang sealiran dengan aku. Mereka-mereka yang bisa mengeluarkan kertas-kertas bernilai dari saku hanya untuk membeli bahan bacaan, berbeza dengan golongan yang lebih kepingin menjadikan persalinan berlabel antarabangsa sebagai keutamaan. 

Melangkah masuk ke dalam, aku terus menuju ke bahagian yang menempatkan buku-buku terbitan baru. Aku sudah temui apa yang aku cari. Sebuah buku yang menghimpunkan koleksi kisah hitam bandaraya yang sedang aku huni. Aku masih belum puas. Aku mahu mencari keseronokan di sini. Aku berjalan-jalan sambil mata liar memandang sekeliling. Aku sampai di ruangan yang menempatkan pelbagai buku berbahasa Inggeris. Ruangan yang kurang aku gemari. Terlihat seorang gadis genit sedang membelek-belek buku.

Dia mengambil sebuah buku yang diatasnya tertera tajuk "How To Understand Men". Aku sedikit terkejut melihat tajuk buku itu. Kerana pada aku, lelaki tidak sekompleks perempuan untuk difahami. Seraya itu juga aku berfikir "masih wujudkah perempuan yang ingin memahami lelaki atau mereka lebih gemar menggunakan frasa, semua lelaki adalah sama??"

p/s: kepada mereka yang ingin mendapatkan saki baki naskhah Kenangan di Puncak, boleh dapatkan di #PSP Shah Alam sabtu ini, insyaAllah aku juga bakal berada di sana

Cadangan untuk Sambungan Novel Kenangan di Puncak

Aku berkira-kira untuk membuat sambungan kepada novel Kenangan di Puncak, tetapi ada satu masalah ketika ini. Aku tiada idea untuk letak tajuk apa bagi novel sambungan ini nanti. Sebolehnya, aku tidak mau gunakan tajuk "Kenangan di Puncak 2" kerana terlalu "lame" bunyinya, jadi aku membuka peluang kepada para pembaca semua, jadi ada cadangan, sila titipkan di ruangan komen di bawah. Tajuk yang terpilih nanti bakal peroleh novel itu secara percuma. Owh yeah!!!

p/s: moga tuhan murahkan rezeki aku dan boleh aku travel pusing satu Malaysia

Horizon Cinta : Ingatan

horizon cinta1

Jam 9 pagi. Aku bangkit dari tidur. Mata dikeroyok dengan kuat menandakan masih tersisa rasa mengantuk. Aku membetulkan bantal yang sudah menjauh dari anggota badanku yang paling atas. Tengkuk masih terasa kebas, mungkin disebabkan oleh kegagalan aku mengawal stress. Tangan meraba-raba mencari phone yang entah mana duduknya. Phone ditemui. Mata terus menangkap beberapa notifikasi yang kurang penting. Aku memejamkan mata kembali. Terasa fikiran aku kosong. Hampir seminit aku berkeadaan sebegitu, aku mencapai earphone yang berselirat di bucu katil. Aku betulkan  semula wayarnya dan sambungkan ia pada phone. Ibu jari giat bermain-main di atas skrin, mencari  icon pemain muzik. Muzik dimainkan, dan aku kenal benar akan intro lagu ini. Lagu yang menjadi kegemaran seseorang. Aku amati dalam-dalam lirik lagu ini. Lagu ini ada persamaan dengan dia, atau lebih tepat lagi, lagu itu menceritakan tentang dirinya. Kebetulan. Dia seorang gadis polos yang kelam kabut, tetapi amat teliti dalam memilih pasangan hidupnya. Mungkin, kisah silamnya banyak mengajar dirinya akan liku-liku di dalam perhubungan. Betapa kuatnya aku cuba menyakinkan dirinya bahawa aku insan yang tepat untuknya, semakin kuat rasa curiganya terhadap aku. Dan tidak keterluan, rasa curiganya itu yang telah memusnahkan segalanya. Hancur. Lagu yang dimainkan tadi tamat, dan aku bingkas bangun dari pembaringan. Tanpa aku sedari, mengalir air mata jantan yang amat mahal harganya itu di kedua pipiku. Aku kesat perlahan-lahan air mata itu sambil menepuk-nepuk dada untuk menguatkan semangatku. Aku kuat, cuma kadang-kadang, aku teringat....

p/s: tidak terlalu berharap