Peter
Al-Hamra baru sampai ke sebuah tempat yang belum pernah beliau jejaki sebelum
ini, iaitu selatan tanah air. Peter
sungguh teruja mengenangkan bahawa beliau akhirnya menjejakkan juga kakinya ke
sebuah negeri yang sudah lama beliau ingin lawati.
Peter
hadir ke selatan tanah air ini bertujuan untuk menghadiri sebuah event yang
menarik. Kebetulan, beliau juga sudah
lama tidak bertemu rakan karibnya di universiti dulu, Watt. Maka, Peter
merasakan ini adalah peluang terbaik untuk beliau menyelam sambil minum
air.
Sebaik
turun dari bas, Peter disambut oleh Watt.
Watt pantas mempelawa Peter agar menginap di rumahnya sepanjang Peter
berada di sini. Bagai pucuk dicita, ulam
mendatang, dengan deras Peter mengangguk tanda setuju.
Keluar
dari terminas bas, Peter dialu-alukan oleh bandar besar ini dengan satu
kesesakan jalan raya yang gila. Peter masih
berlagak tenang, kerana beliau tahu itu adalah resam tinggal di bandar besar,
lebih-lebih lagi jika ia bersempadan dengan sebuah negara maju.
Ketika
menuju ke rumah Watt, Peter melewati sebuah kawasan elit yang sedang dan bakal
dilimpahi dengan pelbagai kemudahan, keselesaan dan kemewahan. Peter biasa nampak kawasan elit ini
dihebahkan di dalam berita jam 8, hampir setiap malam. Peter berasa sedikit kagum mengenangkan
beliau berjaya melihat dengan mata kepalanya sendiri akan kemegahan kawasan
baru ini. Untuk kepastian, Peter
bertanya kepada Watt, samada betul atau tidak, kawasan ini yang sering
dimomokkan di dalam berita itu? Watt memberitahu inilah kawasan itu, kawasan
yang dijangka akan memacu negeri ini menjadi sebuah negeri maju satu hari
nanti. Peter terus berasa kagum.
Mereka
kemudian melewati sebuah kawasan perumahan mewah yang serba cantik. Peter memandang sambil tidak berkelip biji
mata. Peter bertanya kepada Watt, tidak
teringinkah beliau untuk membeli rumah di kawasan ini. Watt menjawab, hampir lapan puluh peratus yang
membeli rumah di kawasan ini adalah bukan penduduk negara ini, ia milik warga
negara jiran yang diketahui umum, lebih mampu membeli hartanah mewah.
Setelah
hampir satu jam memandu, akhirnya Watt dan Peter sampai ke sebuah rumah flat
yang begitu sarat dengan penghuninya.
Watt memberitahu, bahawa di sinilah dia duduk menyewa. Peter membuka pintu kereta sambil berfikir “warganegara
sendiri hanya mampu tinggal di rumah flat, manakala rumah teres dan banglo
didirikan untuk mampu dibeli oleh warganegara asing”.
p/s : tulisan ini juga boleh dibaca di www.yespepol.tumblr.com