21.12.2012. Jumaat. Jam 11 pagi. Aku mencelikkan mata, dan memandang sekeliling. Segalanya masih serupa, tiada yang berubah. Aku bingkas turun dari katil doubledecker dan terus meninjau dari tirai kamarku. Hujan. Sejuk sampai ke tulang. Aku menghala ke ruang tamu. Ibu dan ayah tiada, mungkin bertandang ke rumah tok siak masjid untuk mengambil buah langsat, seperti yang dibebelkan oleh ibu malam semalam. Aku mencapai remote Astro yang kebanyakkan butangnya sudah tidak berfungsi. Jam 11, hari jumaat, tiada cerita yang menarik. Jemariku pantas menekan butang saluran berita yang disediakan oleh saluran televisyen berbayar ini. Besar harapanku untuk melihat Khairunnisa Kasnoon membaca berita pada pagi ini, tapi hampa, bukan dia, sebaliknya wartawan lelaki yang pernah hampir ditembak oleh askar Israel tatkala menyertai satu flotila antarabangsa sedikit masa yang lalu.
Mulutnya lantang membacakan berita perihal sekumpulan manusia yang terkenal dengan muzik k-pop sedang meraikan kejayaan berjaya mengelak kiamat di hadapan sebuah replika kuil Mayan. Ada yang menyanyi, ada yang melompat, ada yang sekadar tersengih. Tidak kurang, ada juga yang mengambil gambar berlatarbelakangkan kuil itu lengkap dengan persalinan jubah hari graduasi. Bangang apakah ini? Apa yang diraikan mereka? Ya aku tau, kiamat belum terjadi, filem 2012 yang memaparkan jahanamnya kotaraya New York sudah boleh diklasifikasikan sebagai filem jenaka, tapi apa benar dunia masih belum kiamat? Benar, dunia belum kiamat melalui bencana besar-besaran, tapi isi dunia itu sendiri iaitu kita semua, sudah lama kiamat. Anak-anak derhaka kepada ibu bapa, nyawa manusia boleh dicabut sewenangnya, kebenaran boleh ditutup dengan wang ringgit dan kuasa, yang korup dijulang semahunya, pasak bumi ditarah sesuka hati, apa ini semua bukan kiamat pada kita???
Aku tekan butang Off pada remote dan aku sambung tidur di sofa.
p/s: 21.12.2012, genap sebulan novel pertama, Kenangan di Puncak berada di pasaran, lekas dapatkan, stok sudah tidak banyak :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 coretan ikhlas:
Saya ada dengar kalau bukan kiamat sekalipun,kita seolah olah mencabar cabar kiamat tersebut?Hilang kewarasan akalkah?
yup2,hehehe
Post a Comment