Nisha, aku terima.....


Cuaca petang ini agak cemerlang. Langit terang benderang, tiada tanda-tanda ia akan memuntahkan hujan, memungkinkan aku untuk lepak seperti biasa di tasik itu. Aku menyusun langkah berseorangan menuju kearah tasik itu. Masih belum ramai orang, mungkin hari masih terlalu awal. Selepas putus dengan kekasihku 2 bulan lepas, aku sering menjadikan tasik ini sebagai tempat untuk mengasingkan diri. Aku anggap tasik ini sebagai pendengar setia kepada setiap masalah yang aku luahkan tika aku sendirian. Dan tiada bezanya dengan petang ini, aku akan duduk di satu bangku yang agak tersorok sedikit dan aku akan bermonolog sendirian dengan harapan tasik ini akan mendengar segala keluhan dan bersimpati akan nasib diriku.
Tetapi, petang ini semacam ada sedikit kelainan, sudah ada seseorang yang menetap dahulu di atas bangku itu. Seorang gadis, yang aku tidak kenal. Badannya langsing, rambutnya paras bahu dan kulitnya putih melepak. Gadis ini pantas mengingatkan aku kepada Cristina Suzanne, seorang pelakon baru yang berdarah kacukan, saling tak tumpah persamaan diantara mereka berdua. Terbit kemusykilan di benakku. Sepanjang 2 bulan aku menghabiskan petang aku di tasik ini, belum pernah mata aku tertancap akan kelibat gadis ini, menambahkan persoalan, dari mana dia datang dan mengapa tiba-tiba dia berada di sini?
Aku menghampirinya. Kerusi ini cukup panjang untuk memuatkan 2 orang dewasa di atasnya.  Dia di hujung sebelah kanan, dan aku mengorak langkah untuk duduk di hujung sebelah kiri. Aku memandang tepat kearah tasik yang terbentang luas di hadapan mata. Suasana masih suram, masing-masing hanya diam membisu. Perasaan ingin tahu semakin menebal. Aku memalingkan muka kearah dia, melihat dia dari sisi. Dia tertunduk, dan aku perasan, ada air mata yang sedang meluru laju di pipi kirinya. Dia tidak menyeka air mata itu, sebaliknya hanya membiarkan sahaja. Aku naik hairan dan ingin menegurnya.
“Kenapa kamu menangis, apa yang buatkan kamu bersedih?”
“Itu bukan urusan kamu” Aku perhatikan air matanya semakin laju mengalir, membenihkan seribu persoalan dalam diriku.
“Mungkin kita belum berkawan lagi, tapi tidak salah rasanya jika aku mengetahui perkara sebenar, kerana aku tau, orang yang bermasalah akan merasa lebih lega jika dia meluahkan masalah yang melanda dirinya itu”
“Aku kecewa..aku kecewa”
“Kecewa kerana apa, cinta??”
Dia hanya mengangguk, sekaligus merungkai segala persoalan yang bermain di fikiran aku beberapa tika tadi. Rupanya gadis ini ada masalah dengan cinta.
“Siapa nama kamu?” aku bertanya.
“Nisha, kamu?” dia membalas.
“Aku Amirul, panggil saja Mirul”
“Di mana kamu tinggal?, aku tidak pernah nampak kelibat kamu sebelum ini di kawasan ini”
“Aku tinggal di rumah besar di hujung jalan sana, kenapa?”
“Maksud kamu rumah banglo itu? huh”
“Yup, mengapa kamu mengeluh?”
“Owh, tiada apa, Cuma aku kasihan akan kamu, kamu punyai segala, lahir di dalam keluarga mewah, dikurnia rupa paras menawan tapi masih menangis di sini kerana cinta”
“Kamu tidak faham Mirul, memang aku akui, aku punyai segala, tapi apa makna semuanya itu jika hidup aku tersia kerana cinta?”
“Apa sebenarnya yang terjadi pada kisah cinta kamu?”
Nisha sudah mula menangis kembali, memberi gambaran betapa terseksanya dia. Aku menanti dia membuka ceritanya.
“Begini, setahun yang lepas, aku menemui seorang lelaki, yang aku rasakan sangat tepat untuk aku, seorang lelaki yang begitu memahami aku, aku cukup selesa bila berada bersamanya sehinggakan aku berasakan tiada apa lagi yang aku perlukan di dalam ini, melainkan hanya dia seorang sahaja, hampir 3 bulan kami berkenalan, aku dan dia mengambil keputusan untuk bersama, kami mengikat janji, ingin sehidup semati, mulai saat itu, aku merasakan aku tidak akan mampu hidup jika dia tiada di sisiku”
Nisha mengesat air mata yang bercucuran. Aku masih menanti dia menyambung ceritanya semula.
“Perhubungan kami dihidu oleh kedua orang tua. Aku mengambil keputusan untuk memperkenalkan dia kepada keluargaku. Aku menjemputnya datang ke rumah. Mujur, kedua ibu bapaku dapat menerima dia seadanya, walaupun sebelum ini, pernah bapaku berkata bahawa ingin menjodohkan aku dengan anak seorang kenalannya di luar negara, anak seorang Konsulat Negara di Italy. Tetapi, di hari pertemuan itu, aku berasa curiga, aku berasa curiga terhadap kakak aku sendiri. Aku perasan yang kakak aku seakan berminat dengan kekasih aku. Pada mulanya, aku cuba buang tanggapan itu jauh-jauh, tidak manis bagi seorang adik untuk mencurigai kakaknya sendiri. Lagipun, aku berfikir, mana mungkin kakak aku sanggup melakukan perkara itu terhadap aku, adiknya sendiiri, aku tahu dia sangat sayangkan aku”
“Kemudian, apa yang terjadi?” aku seolah tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya.
“Pagi tadi, aku mesej padanya, mengatakan aku ingin berjumpa dengannya, tapi dia mengatakan yang dia tidak sihat, dia minta agar aku tidak mengacaunya. Aku memang tidak mahu mengacaunya, tapi memikirkan dia tidak sihat, aku berhasrat ingin menghantar sedikit ubat kepadanya. Jadi, aku terus pergi ke rumahnya dengan membawa ubat di tangan. Aku lihat pintu hadapan tidak berkunci. Aku terus sahaja masuk ke dalam rumah dengan tujuan untuk memberi kejutan padanya. Tetapi, aku yang terperanjat terlebih dahulu. Pintu biliknya terkuak dan aku nampak dengan jelas dia dan kakak aku sedang tidak berpakaian, hati aku hancur Mirul……”
Nisha menangis dengan sekuat-kuatnya. Aku faham akan perasaan dia. Cinta yang diharapkan tulus, rupanya hanya mainan. Cinta itu boleh menjadi syurga, dan cinta juga boleh menjadi neraka kepad kita. Curang itu sudah cukup memeritkan, apatah lagi jika sang kekasih curang dengan ahli keluarga sendiri. Aku faham akan kesedihan hati Nisha. Aku cuba menenangkannya. Dia kini meletakkan kepalanya diatas bahuku. Aku biarkan sahaja. Tangisnya sudah mula berkurangan.
“Mirul, kau boleh tolong aku?” Nisha bertanya.
“Pertolongan yang bagaimana kamu perlukan Nisha?” aku membalas pertanyaan Nisha dengan pertanyaan juga.
“Emm begini, aku ada sedikit wang simpanan dan sebuah kereta”
“Jadi??” aku masih lagi kurang mengerti.
“Jadi, aku mahu kau bawa aku ke satu tempat, satu tempat di mana aku dan juga kau boleh melupakan segala kisah sedih yang kita alami ni” Nisha menjelaskan rancangannya.
“Mengapa kamu mengajak aku?” aku masih tidak faham, mengapa dia dengan berani mengajak aku, seseorang yang baru dia kenal tidak sampai setengah jam.
“Kerana aku terlalu sedih Mirul untuk membawa diriku sendiri pergi dari sini, kau harus tolong aku Mirul, aku merayu”
Aku memandang wajah Nisha. Lama. Akhirnya aku mengangguk. Aku memimpin tangan Nisha dan mula menuju kearah keretanya yang diparkir di seberang jalan. Aku duduk di tempat duduk pemandu dan Nisha duduk di sebelah. Aku menghidupkan enjin kereta. Gear satu dimasukkan. Kereta kini bergerak perlahan-lahan. Maka bermulalah perjalanan aku dan Nisha ke satu tempat yang diharapkan mampu menghilangkan segala kekecewaan yang terbuku di dalam hati ini. 
p/s: cerpen gagal yang aku tulis..

8 coretan ikhlas:

Unknown said...

nice gler gaya penulisan ni...

Unknown said...

asal la mcm sekerat je cerita ni..

Anonymous said...

hahahahaha...ok jugk jalan cerita..tp nape gune 'kamu' pul?rs da mcm klasik plop..

pepol said...

fendy..thanks bro,hehehe

pepol said...

nur razlinda..hehehe,ada rahsia di sebaliknya

pepol said...

anonymous..hihihi

kucing hitam said...

hye,dtg follow sini..wah,nice la story ni..Susah nak cari lelaki pandai menulis mcm ni..=)

pepol said...

marlia...hehehe,terima kasih,biasa2 saje story ny :)