Cuaca petang ini agak cemerlang. Langit terang
benderang, tiada tanda-tanda ia akan memuntahkan hujan, memungkinkan aku untuk
lepak seperti biasa di tasik itu. Aku menyusun langkah berseorangan menuju
kearah tasik itu. Masih belum ramai orang, mungkin hari masih terlalu awal.
Selepas putus dengan kekasihku 2 bulan lepas, aku sering menjadikan tasik ini
sebagai tempat untuk mengasingkan diri. Aku anggap tasik ini sebagai pendengar
setia kepada setiap masalah yang aku luahkan tika aku sendirian. Dan tiada
bezanya dengan petang ini, aku akan duduk di satu bangku yang agak tersorok
sedikit dan aku akan bermonolog sendirian dengan harapan tasik ini akan
mendengar segala keluhan dan bersimpati akan nasib diriku.
Tetapi, petang ini semacam ada sedikit kelainan,
sudah ada seseorang yang menetap dahulu di atas bangku itu. Seorang gadis, yang
aku tidak kenal. Badannya langsing, rambutnya paras bahu dan kulitnya putih
melepak. Gadis ini pantas mengingatkan aku kepada Cristina Suzanne, seorang
pelakon baru yang berdarah kacukan, saling tak tumpah persamaan diantara mereka
berdua. Terbit kemusykilan di benakku. Sepanjang 2 bulan aku menghabiskan
petang aku di tasik ini, belum pernah mata aku tertancap akan kelibat gadis ini,
menambahkan persoalan, dari mana dia datang dan mengapa tiba-tiba dia berada di
sini?
Aku menghampirinya. Kerusi ini cukup panjang untuk
memuatkan 2 orang dewasa di atasnya. Dia
di hujung sebelah kanan, dan aku mengorak langkah untuk duduk di hujung sebelah
kiri. Aku memandang tepat kearah tasik yang terbentang luas di hadapan mata.
Suasana masih suram, masing-masing hanya diam membisu. Perasaan ingin tahu
semakin menebal. Aku memalingkan muka kearah dia, melihat dia dari sisi. Dia
tertunduk, dan aku perasan, ada air mata yang sedang meluru laju di pipi kirinya.
Dia tidak menyeka air mata itu, sebaliknya hanya membiarkan sahaja. Aku naik hairan
dan ingin menegurnya.
“Kenapa
kamu menangis, apa yang buatkan kamu bersedih?”
“Itu
bukan urusan kamu” Aku perhatikan air matanya semakin laju
mengalir, membenihkan seribu persoalan dalam diriku.
“Mungkin
kita belum berkawan lagi, tapi tidak salah rasanya jika aku mengetahui perkara
sebenar, kerana aku tau, orang yang bermasalah akan merasa lebih lega jika dia
meluahkan masalah yang melanda dirinya itu”
“Aku
kecewa..aku kecewa”
“Kecewa
kerana apa, cinta??”
Dia hanya mengangguk, sekaligus merungkai segala
persoalan yang bermain di fikiran aku beberapa tika tadi. Rupanya gadis ini ada
masalah dengan cinta.
“Siapa
nama kamu?” aku bertanya.
“Nisha,
kamu?” dia membalas.
“Aku
Amirul, panggil saja Mirul”
“Di
mana kamu tinggal?, aku tidak pernah nampak kelibat kamu sebelum ini di kawasan
ini”
“Aku
tinggal di rumah besar di hujung jalan sana, kenapa?”
“Maksud
kamu rumah banglo itu? huh”
“Yup,
mengapa kamu mengeluh?”
“Owh,
tiada apa, Cuma aku kasihan akan kamu, kamu punyai segala, lahir di dalam
keluarga mewah, dikurnia rupa paras menawan tapi masih menangis di sini kerana
cinta”
“Kamu
tidak faham Mirul, memang aku akui, aku punyai segala, tapi apa makna semuanya
itu jika hidup aku tersia kerana cinta?”
“Apa
sebenarnya yang terjadi pada kisah cinta kamu?”
Nisha sudah mula menangis kembali, memberi gambaran
betapa terseksanya dia. Aku menanti dia membuka ceritanya.
“Begini,
setahun yang lepas, aku menemui seorang lelaki, yang aku rasakan sangat tepat
untuk aku, seorang lelaki yang begitu memahami aku, aku cukup selesa bila
berada bersamanya sehinggakan aku berasakan tiada apa lagi yang aku perlukan di
dalam ini, melainkan hanya dia seorang sahaja, hampir 3 bulan kami berkenalan,
aku dan dia mengambil keputusan untuk bersama, kami mengikat janji, ingin
sehidup semati, mulai saat itu, aku merasakan aku tidak akan mampu hidup jika
dia tiada di sisiku”
Nisha mengesat air mata yang bercucuran. Aku masih
menanti dia menyambung ceritanya semula.
“Perhubungan
kami dihidu oleh kedua orang tua. Aku mengambil keputusan untuk memperkenalkan
dia kepada keluargaku. Aku menjemputnya datang ke rumah. Mujur, kedua ibu
bapaku dapat menerima dia seadanya, walaupun sebelum ini, pernah bapaku berkata
bahawa ingin menjodohkan aku dengan anak seorang kenalannya di luar negara,
anak seorang Konsulat Negara di Italy. Tetapi, di hari pertemuan itu, aku
berasa curiga, aku berasa curiga terhadap kakak aku sendiri. Aku perasan yang
kakak aku seakan berminat dengan kekasih aku. Pada mulanya, aku cuba buang
tanggapan itu jauh-jauh, tidak manis bagi seorang adik untuk mencurigai
kakaknya sendiri. Lagipun, aku berfikir, mana mungkin kakak aku sanggup
melakukan perkara itu terhadap aku, adiknya sendiiri, aku tahu dia sangat
sayangkan aku”
“Kemudian,
apa yang terjadi?” aku seolah tidak sabar untuk mengetahui
kisah seterusnya.
“Pagi
tadi, aku mesej padanya, mengatakan aku ingin berjumpa dengannya, tapi dia
mengatakan yang dia tidak sihat, dia minta agar aku tidak mengacaunya. Aku
memang tidak mahu mengacaunya, tapi memikirkan dia tidak sihat, aku berhasrat
ingin menghantar sedikit ubat kepadanya. Jadi, aku terus pergi ke rumahnya
dengan membawa ubat di tangan. Aku lihat pintu hadapan tidak berkunci. Aku terus
sahaja masuk ke dalam rumah dengan tujuan untuk memberi kejutan padanya.
Tetapi, aku yang terperanjat terlebih dahulu. Pintu biliknya terkuak dan aku
nampak dengan jelas dia dan kakak aku sedang tidak berpakaian, hati aku hancur
Mirul……”
Nisha menangis dengan sekuat-kuatnya. Aku faham akan
perasaan dia. Cinta yang diharapkan tulus, rupanya hanya mainan. Cinta itu
boleh menjadi syurga, dan cinta juga boleh menjadi neraka kepad kita. Curang
itu sudah cukup memeritkan, apatah lagi jika sang kekasih curang dengan ahli
keluarga sendiri. Aku faham akan kesedihan hati Nisha. Aku cuba menenangkannya.
Dia kini meletakkan kepalanya diatas bahuku. Aku biarkan sahaja. Tangisnya
sudah mula berkurangan.
“Mirul,
kau boleh tolong aku?” Nisha bertanya.
“Pertolongan
yang bagaimana kamu perlukan Nisha?” aku membalas
pertanyaan Nisha dengan pertanyaan juga.
“Emm
begini, aku ada sedikit wang simpanan dan sebuah kereta”
“Jadi??”
aku masih lagi kurang mengerti.
“Jadi,
aku mahu kau bawa aku ke satu tempat, satu tempat di mana aku dan juga kau
boleh melupakan segala kisah sedih yang kita alami ni”
Nisha menjelaskan rancangannya.
“Mengapa
kamu mengajak aku?” aku masih tidak faham, mengapa dia
dengan berani mengajak aku, seseorang yang baru dia kenal tidak sampai setengah
jam.
“Kerana
aku terlalu sedih Mirul untuk membawa diriku sendiri pergi dari sini, kau harus
tolong aku Mirul, aku merayu”
Aku memandang wajah Nisha. Lama. Akhirnya aku
mengangguk. Aku memimpin tangan Nisha dan mula menuju kearah keretanya yang
diparkir di seberang jalan. Aku duduk di tempat duduk pemandu dan Nisha duduk
di sebelah. Aku menghidupkan enjin kereta. Gear satu dimasukkan. Kereta kini
bergerak perlahan-lahan. Maka bermulalah perjalanan aku dan Nisha ke satu
tempat yang diharapkan mampu menghilangkan segala kekecewaan yang terbuku di
dalam hati ini.
p/s: cerpen gagal yang aku tulis..
8 coretan ikhlas:
nice gler gaya penulisan ni...
asal la mcm sekerat je cerita ni..
hahahahaha...ok jugk jalan cerita..tp nape gune 'kamu' pul?rs da mcm klasik plop..
fendy..thanks bro,hehehe
nur razlinda..hehehe,ada rahsia di sebaliknya
anonymous..hihihi
hye,dtg follow sini..wah,nice la story ni..Susah nak cari lelaki pandai menulis mcm ni..=)
marlia...hehehe,terima kasih,biasa2 saje story ny :)
Post a Comment