Peter Al-Hamra : Tumpuan Perempuan

Setelah berminggu-minggu makan nasi bungkus, hari ini Peter mengambil keputusan untuk mengubah selera.  Dia berhajat untuk makan di sebuah medan selera yang sering menjadi tumpuan kakitangan kerajaan yang terlibat di dalam perkhidmatan kesihatan. 

Sampai sahaja di medan selera berkenaan, Peter nampak akan sebuah meja yang masih belum disinggahi oleh sesiapa.  Pantas, Peter melabuhkan punggung di atas kerusi plastik yang tersedia.
Selesai memberi order kepada pelayan yang bertandang, Peter mencapai senaskhah surat khabar yang berada di atas meja.  Nasib Peter baik, pelanggan-pelanggan yang berada di meja-meja sebelah lebih berminat bersembang sesama mereka berbanding membaca surat khabar.

Peter membuka halaman depan surat khabar arus perdana yang sering menyiarkan berita berat sebelah dan lebih memihak kepada satu pihak sahaja.  Peter membaca dengan teliti berita-berita yang disiarkan.

Peter tertarik akan sebuah berita yang memberitahu seorang pelakon lelaki berwajah tampan yang pernah digilai ramai gadis satu ketika dahulu sudah bernikah untuk kali kedua di selatan Thailand.  Peter pantas membuka akaun facebook di telefon pintarnya.  Seperti yang dijangka, berita itu sudah hangat di rangkaian social ini.  Peter dapat melihat, perempuan cukup terusik dengan berita ini.  Mereka memaki hamun, mencerca dan melemparkan perkataan yang bukan-bukan kepada si pelaku. 
Peter membelek pula di muka surat sebelah.  Ada satu berita yang menarik perhatian Peter.  Kisah seorang artis yang berkahwin dengan seorang pemain bola ternama.  Namun, rumah tangga mereka berantakan.  Lebih memilukan, si isteri ditinggalkan begitu sahaja oleh sang suami tanpa sebarang nafkah zahir atau batin selama hampir 2 tahun. Memeritkan.


Usai membaca kedua-dua berita itu, membuatkan Peter berfikir.  Peter berasa sedikit sangsi.  Mengapa perempuan berapi-api membela nasib seorang perempuan yang dimadukan di dalam berita pertama, tetapi diam membisu terhadap nasib seorang perempuan yang menjadi mangsa suaminya sendiri di dalam berita kedua? Pada pandangan Peter, sekurangnya perempuan di dalam berita pertama itu masih punyai suami, kesakitannya cuma perlu berkongsi kasih dengan orang lain, itupon dengan kaum sejenis dengannya. Berbanding nasib perempuan di dalam berita kedua, yang dibiarkan hidup terkontang kanting seorang diri, ternyata beliau lebih memerlukan pembelaan dari kaum sejenis dengan beliau.  Jujur, Peter tiada jawapan untuk itu.

p/s: cerita ini juga boleh dibaca di www.yespepol.tumblr.com    

0 coretan ikhlas: