Peter Al-Hamra : Flat untuk Kita

Peter Al-Hamra baru sampai ke sebuah tempat yang belum pernah beliau jejaki sebelum ini, iaitu selatan tanah air.  Peter sungguh teruja mengenangkan bahawa beliau akhirnya menjejakkan juga kakinya ke sebuah negeri yang sudah lama beliau ingin lawati.

Peter hadir ke selatan tanah air ini bertujuan untuk menghadiri sebuah event yang menarik.  Kebetulan, beliau juga sudah lama tidak bertemu rakan karibnya di universiti dulu, Watt. Maka, Peter merasakan ini adalah peluang terbaik untuk beliau menyelam sambil minum air. 

Sebaik turun dari bas, Peter disambut oleh Watt.  Watt pantas mempelawa Peter agar menginap di rumahnya sepanjang Peter berada di sini.  Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, dengan deras Peter mengangguk tanda setuju. 

Keluar dari terminas bas, Peter dialu-alukan oleh bandar besar ini dengan satu kesesakan jalan raya yang gila.  Peter masih berlagak tenang, kerana beliau tahu itu adalah resam tinggal di bandar besar, lebih-lebih lagi jika ia bersempadan dengan sebuah negara maju. 

Ketika menuju ke rumah Watt, Peter melewati sebuah kawasan elit yang sedang dan bakal dilimpahi dengan pelbagai kemudahan, keselesaan dan kemewahan.  Peter biasa nampak kawasan elit ini dihebahkan di dalam berita jam 8, hampir setiap malam.  Peter berasa sedikit kagum mengenangkan beliau berjaya melihat dengan mata kepalanya sendiri akan kemegahan kawasan baru ini.  Untuk kepastian, Peter bertanya kepada Watt, samada betul atau tidak, kawasan ini yang sering dimomokkan di dalam berita itu? Watt memberitahu inilah kawasan itu, kawasan yang dijangka akan memacu negeri ini menjadi sebuah negeri maju satu hari nanti.  Peter terus berasa kagum.

Mereka kemudian melewati sebuah kawasan perumahan mewah yang serba cantik.  Peter memandang sambil tidak berkelip biji mata.  Peter bertanya kepada Watt, tidak teringinkah beliau untuk membeli rumah di kawasan ini.  Watt menjawab, hampir lapan puluh peratus yang membeli rumah di kawasan ini adalah bukan penduduk negara ini, ia milik warga negara jiran yang diketahui umum, lebih mampu membeli hartanah mewah. 


Setelah hampir satu jam memandu, akhirnya Watt dan Peter sampai ke sebuah rumah flat yang begitu sarat dengan penghuninya.  Watt memberitahu, bahawa di sinilah dia duduk menyewa.  Peter membuka pintu kereta sambil berfikir “warganegara sendiri hanya mampu tinggal di rumah flat, manakala rumah teres dan banglo didirikan untuk mampu dibeli oleh warganegara asing”.  

p/s : tulisan ini juga boleh dibaca di www.yespepol.tumblr.com

0 coretan ikhlas: