Wujudkan Sekolah Sukan Bola Sepak

Kegagalan demi kegagalan yang dialami oleh skuad bola sepak kebangsaan di kejohanan yang disertai mengundang seribu persoalan. Apakah benar kita sudah ketandusan pemain berbakat yang mampu mengharumkan nama negara atau ada sesuatu yang tidak kena sekaligus menghalang skuad kebangsaan kita melakar kejayaan. Walaupun baru-baru ini skuad kebangsaan kita di bawah bimbingan K. Rajagopal sudah mula menampakkan peningkatan dengan beberapa siri keputusan yang memberangsangkan namun harus diakui bahawa perjalanan masih jauh bagi skuad kebangsaan. Peminat masih lagi menanti pingat emas Sukan Sea yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1989.
Di sini saya ingin melontarkan idea agar diwujudkan sebuah sekolah yang khusus untuk bola sepak. Umum sedia maklum bahawa negara kita sudah mempunyai beberapa buah sekolah sukan, antaranya Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar. Namun, sekolah sukan yang diwujudkan ini tidak menjurus kepada sukan tertentu sahaja sebaliknya merangkumi semua jenis sukan. Keberkesanan sekolah sukan ini sudah terbukti dan menjadi sumber utama melahirkan para atlet kebangsaan. Jadi, kerajaan perlu memandang secara serius untuk mewujudkan sebuah sekolah sukan khas untuk bola sepak.
Memandangkan sekolah sukan ini hanya menjurus kepada bola sepak, bilangan pelajarnya tidak perlu seramai pelajar sekolah sukan yang lain, memadai dengan hanya 100 orang pelajar. Pastikan hanya pelajar yang layak dan berpotensi untuk menjadi seorang pemain bola sepak sahaja diserap ke sekolah ini. Di sekolah ini nanti, para pelajar akan didedahkan dari segenap aspek bagaimana cara untuk menjadi seorang pemain bola sepak professional. Memandangkan bilangan pelajar yang tidak ramai, kita boleh membekalkan mereka dengan makanan yang betul-betul berkhasiat dan sesuai untuk menjadi seorang atlet. Makanan yang betul ketika di peringkat awal amat penting untuk melahirkan seorang atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Di sekolah ini juga kita boleh menyediakan padang latihan yang mencukupi dan berkualiti tinggi bagi membolehkan para pelajar menjalani latihan dalam keadaan yang selesa dan sempurna. Bekas pemain skuad negara boleh memberi tunjuk ajar dan khidmat nasihat kepada para pelajar atau menjadi tenaga pengajar secara tetap di sekolah ini. Pada hujung minggu, pihak pengurusan sekolah boleh mengaturkan perlawanan menentang skuad Piala Presiden yang terdapat di setiap negeri. Apa yang penting tujuan sekolah sebegini diwujudkan adalah untuk memastikan bakal pemain bola sepak ini mendapat pendedahan secara kerap pada usia yang muda. Jika pada peringkat awal lagi mereka sudah didedahkan dengan teknik bola sepak yang betul dan bermain bola sepak secara kerap, sudah tentu pada usia 20 tahun mereka sudah bersedia untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang professional. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan perlu berganding bahu jika ingin melihat apa yang dicadangkan ini berjaya dan mencapai objektifnya. Akhir kata, majulah bola sepak untuk negara.

3 coretan ikhlas:

Ann Zickler said...

WAKLU..bola sepak..
a'kum
report dah siap?
tarikh kita present ngan anta report sama je kan? kan?

pepol said...

report ak dh siap dh,hahaha
xsure ar kimonk,mybe same kot
evaluation form 2 kne anta awl kn???
klu xsilap 25hb kn???

Anonymous said...

25HB 10 KER?
aku pon rasa kene anta awal..
bukan kene pos melalui majikan ker?
pe2 hal aku contact lah..