Surat buat Cikgu Sekolah Lama

Pepol Zainuddin
Jalan Matahari Putra
Kuala Lumpur



Kehadapan Cikgu Zul

Sudah lama kita tidak bersua, malahan saya sendiri tidak tahu di mana cikgu berada sekarang.  Seingat saya, kali terakhir kita berjumpa adalah semasa saya mengambil keputusan ujian UPSR.  Sesudah saya masuk sekolah menengah, kita tidak pernah bersua lagi.

Harapnya, cikgu masih lagi utuh menjadi warga pendidik dan mencurah ilmu kepada anak watan negara kita.  Segala ilmu yang pernah cikgu curahkan kepada saya satu ketika dahulu tetap kekal menjadi sesuatu yang amat berharga buat diri saya.  Masih teringat lagi akan situasi di dalam bengkel Kemahiran Hidup, dimana cikgu tenang memberi arahan demi arahan kepada saya bagi melengkapkan projek Kemahiran Hidup.

Akan tetapi, di sebalik segala ilmu yang telah cikgu curahkan kepada saya, masih ada satu benda yang tertinggal.  Perkara ini berterusan menghantui saya setiap hari walaupun perkara ini berlaku kira-kira 18 tahun yang lalu.  Jikalau cikgu tidak keberatan, saya berharap agar cikgu dapat memulangkan semula digimon saya yang cikgu rampas di sekolah.  Cikgu tidak perlu menggantikan bateri yang baru, semua itu akan saya lalukan kemudian.

Harapnya cikgu dapat mempertimbangkan permintaan saya ini.


Anak muridmu.


Penghuni Hati


Pepol Zainuddin
Jalan Matahari Putra
Kuala Lumpur



Kehadapan isteriku yang disayangi,

Ini surat pertama yang saya karang sesudah kamu berpindah ke dunia abadi genap seratus dua puluh purnama yang lalu.  Pada setiap dimensi dan waktu, dapat dirasakan kamu senantiasa dekat pada saya.  Tiap kali saya hendak keluar rumah, wajahmu masih ada di muka pintu, tersenyum, melambai dan mengucap "hati-hati memandu, moga lekas pulang".  Dan saya sering membalas "Tidak apa-apa jika lewat pulang, wajah kamu sudah melekat di setiap sudut mata saya, hadir di mana saya berada".

Hari ini, detik ini, saat ini, amanah yang tuhan kurniakan pada kita berdua masih utuh saya jaga.  Reza Saifulputra, anak laki-laki kita, sudah tumbuh menjadi jejaka betubuh kekar dan berakal cerdas.  Masa senggangnya sering dihabiskan dengan menggendong kamera ke hulu ke hilir memotret keindahan alam.  Islan Saifulputri, anak perempuan kita, juga sudah semakin meningkat umurnya, semakin mirip wajah ibundanya.  Mujur swafoto bukan kegemarannya, tetapi dapur yang sering menjadi laman permainannya.  Ada dia minta keizinan mahu sertai kelas penulisan puisi.  Saya turutkan aja kerna membunuh angan-angan anak muda itu besar dosanya bagi saya.

Saya tidak dapat meneruskan tulisan ini kerna saya bimbang meja kerja saya ini akan basah dek tetesan air mata.  Terima kasih kerna hadir memberikan keseimbangan dan menciptakan harmoni dalam kehidupan saya dan anak-anak kita.  Mata kamu yang cantik, indah memukau itu akan tetap menjadi pendamai hati saya yang utama.  Ingatlah, kamu ditakdirkan menjadi bahagian pada diri saya dan diri saya juga sudah menjadi bahagian dari diri kamu.

Yang benar,

Suamimu.


Peter AL Hamra : Senang Susah, Susah Senang

Ada masa, perkara susah itu datang terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan perkara senang.  Ada juga masa dan detik, perkara senang itu datang dahulu dan disusuli pula dengan perkara susah.  Ikut nasib dan apa yang telah ditetapkan oleh sang pencipta. 
     
Hari ini Peter AL Hamra dan Wan Yakudi bakal menempuh benda yang sama tetapi situasinya sedikit berbeza iaitu interview.  Kebetulan, Peter AL Hamra dan Wan Yakudi ditakdirkan untuk mendapat panggilan interview di hari yang sama.  Sudahlah sama kelas di universiti dahulu, menginap di rumah sewa yang sama, dan lebih menarik bergraduasi pun duduk sebelah-sebelah, kini interview pun di hari yang sama.  Mujur mereka mendapat panggilan interview di dua tempat yang berbeza, kalau tidak mungkin mereka akan menjadi rakan sekerja. 
     
Peter AL Hamra akan menghadiri panggilan interview di sebuah syarikat berstatus swasta manakala Wan Yakudi pula bakal menghadapi interview di sebuah jabatan kerajaan.  Besar perbezaan dia bila sebut swasta dan kerajaan ni.  Bermula daripada panggilan interview itu sendiri kita sudah boleh lihat perbezaan.  Seperti yang kita semua sedia maklum, hendak mendapat panggilan interview dari jabatan kerajaan itu sendiri sudah seperti menunggu bulan jatuh ke riba.  Tahun 2014 ini, ada kira-kira seratus ribu peluang pekerjaan disediakan oleh SPA, iaitu sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kemasukan kakitangan awam.
     
Jadi, Peter sedikit iri hati melihatkan Wan Yakudi yang mendapat panggilan interview untuk bekerja di jabatan kerajaan yang kita semua tahu cukup mewah dengan pelbagai jenis elaun, kemudahan dan pengecualian pembayaran pelbagai benda.  Itu belum termasuk kemudahan untuk membuat pinjaman bank.  Peter melihat kepada dirinya yang hanya mendapat panggilan interview di sebuah syarikat swasta yang semua orang tahu amat senang untuk didapati. 
     
Peter membawa segala sijil yang dia ada, begitu juga dengan Wan Yakudi.  Peter membawa segala ilmu pengetahuan yang dia tahu berkaitan dengan syarikat swasta ini, begitu juga dengan Wan Yakudi, Cuma Wan Yakudi lebih kepada menghafal segala nama menteri-menteri kabinet yang tidak ramai orang muda hafal.  Itu baru sebut nama menteri, belum lagi sebut kawasan parlimen yang diwakili oleh menteri-menteri tersebut, lagi la ramai orang tidak tahu.
     
Interview sudah bermula, Peter dan Wan Yakudi cuba menyembunyikan perasaan gementar di dalam tutur bicara masing-masing.  Mereka berdua cuba “menjual” diri mereka sebaik mungkin dengan harapan para penemuduga berpuas hati dan merasakan mereka berdua ini layak diberikan tempat sekaligus menepikan calon-calon lain.  Peter cuba menerangkan akan dirinya begitu, begini dan bersikap begitu dan begini.  Peter berusaha menonjolkan sisi baik kehidupannya manakala sisi gelap kehidupannya cuba ditenggelamkan jauh ke dasar seperti kisahnya yang pernah gagal satu subjek di universiti dahulu.  Begitu juga dengan Wan Yakudi, beliau cuba mengaitkan dirinya dengan segala perkataan baik-baik dan yang membawa maksud positif sedangkan di dunia reality, semua orang tau dia seorang yang pemalas, membesar dengan meniru dan lebih padu, suka menggunakan agama untuk menawan hati wanita.
     
Akhirnya, sesi interview sudah tamat, maka pulanglah kedua mereka dengan harapan yang menggunung agar dapat diterima bekerja sekaligus menamatkan status penganggur terhormat yang dipegang rapi selama ini.  Kadang-kadang, Peter berasa pelik dengan kehidupan.  Setiap masa, kita sentiasa sahaja berada di dalam perlumbaan.  Kita sentiasa ingin berlumba dan bersaing dengan orang di sekeliling kita.  Kita berlumba siapa yang lebih cerdik, kita berlumba siapa dapat kerja dahulu, kita berlumba siapa ada harta yang banyak dan lebih parah, kita berlumba siapa bertemu jodoh dahulu.
     
Selepas berminggu menanti, akhirnya ada berita baik menjengah kehidupan Peter AL Hamra dan Wan Yakudi.  Kedua-duanya berjaya di dalam interview sebelum ini dan akan dipanggil bekerja tidak lama lagi.  Girangnya bukan main lagi, kerana sedikit sebanyak apa yang dihajatkan semasa menyambung pelajaran dahulu sudah tercapai.  Boleh dikatakan kitaran hidup seseorang itu sudah hampir lengkap apabila berjaya mendapat pekerjaan walaupun status pekerjaan itu boleh berbeza-beza samada pekerjaan idaman atau sekadar pekerjaan untuk mencari pengalaman terlebih dahulu. 
     
Peter akan memulakan tugas di sebuah syarikat swasta dan selayaknya digelar kakitangan swasta manakala Wan Yakudi akan bekerja di sebuah jabatan kerajaan dan seharusnya digelar kakitangan awam.  Wan Yakudi tersengih mengenangkan pelbagai elaun yang bakal dinikmati oleh beliau yang tidak diterima oleh Peter.  Manakala, Peter kembali tersengih memikirkan jumlah bonus yang bakal diterima jika berupaya menunjukkan mutu kerja yang cemerlang manakala Wan Yakudi mencebik mengenangkan jumlah bonus yang bakal diberitahu oleh Menteri Kewangan, biasanya pada bulan Oktober. 
     
Genap sebulan bekerja, Peter semakin tertekan dengan kerjanya.  Muka semakin berkeruh, tiap-tiap hari mengeluh dan mula kerap pulang lewat kerana bebanan kerja yang banyak.  Wan Yakudi pula semakin seronok dengan kerjanya.  Banyak masa terluang yang dinikmati oleh Wan Yakudi, boleh keluar minum dalam tempoh yang lama dan jika mahu, keluar minum petang pun boleh.  Hasilnya, Wan Yakudi mengalami pertambahan berat badan yang merupakan satu indikasi kepada betapa tidak tertekannya Wan Yakudi menghadapi dunia pekerjaan di sektor awam. 

Wan Yakudi : Peter, amacam kerja, ok ke tak?

Peter : Stress dow, banyak giler kerja, aku macam dah tak tahan je ni.

Wan Yakudi : Arghh rileks ar Peter, kerja aku rileks giler, bukannya ada kerja sangat, kejap-kejap keluar mengulor, hahaha.

Peter : Syoknya, aku ni apatah lagi nak mengulor, nak balik on-time pun tak sempat kalau kau nak tau.

Wan Yakudi : Itulah kau, kerja lagi swasta, tengok macam aku, kerja kerajaan, kan rileks je, hahaha.  Kerja kerajaan ni boleh la kau ibaratkan macam, susah dahulu, senang kemudian.  Nak mendapatkannya tu memang susah, tapi sekali dapat tu, memang senanglah hidup kau, hahaha.  Macam kau kerja swasta, nak dapat tu memang senang, tapi bila dah dapat tu, haa nanti kau rasa la susah dia macamana.  Apa kau cakap tadi, selalu balik lambat? Kah kah kah.


Peter : %^&*%*%*%@#

Peter AL Hamra : Tiga Pasangan Sejam

Kita biasa mendengar, ada perkara yang mudah, tetapi sengaja diubah menjadi sukar.  Ada perkara yang tidak perlu, tetapi diada-adakan, dan lebih teruk, ada pihak yang mengaut keuntungan.  Fokus Peter pada hari ni ialah mengenai hal perkahwinan.
Pada hari ini, Peter menghadiri dua majlis perkahwinan. Jika diikutkan pada invitation yang diterima di facebook, Peter AL Hamra ada lima majlis perkahwinan yang perlu dihadiri pada hari ini.  Namun, bila difikirkan akan masa dan jarak majlis yang agak jauh antara satu sama lain, maka Peter membuat keputusan untuk menghadiri dua majlis sahaja yang dirasakan praktikal dari segi masa dan jarak perjalanan.
Peter tidak pergi berseorangan, sebaliknya mengajak Zalina Winchester untuk menemaninya.  Pada Peter, adalah sangat “win” jika pergi ke majlis perkahwinan dengan membawa pasangan, lebih-lebih lagi jika pasangan yang dibawa itu berpernampilan menarik dan memang sesuai untuk dibawa ke majlis.
Zalina : Peter, kau bila pula nak kahwin?
Peter : Leceh ar kahwin ni, banyak sangat benda yang perlu dibuat.
Zalina : Leceh? Kau kena buat benda tu semua sekali je bro, bukan tiap-tiap hari.
Peter : Memang la, tapi kau tak rasa ke, yang benda kahwin ni sebenarnya mudah sahaja, tapi ditambah dengan macam-macam benda yang tak perlu?
Zalina : Hahaha, Melayu kan, biasa la penuh dengan adat, itu yang buat perkahwinan jadi macam terlalu rumit. Eh kau dah pergi kursus kahwin?
Peter : Kursus kahwin? Huh dengan kadar penceraian tiga pasangan dalam masa sejam di Malaysia, kau rasa benda tu betul-betul bermanfaat untuk pasangan yang bakal berkahwin atau diadakan untuk memberi peluang kepada orang Melayu untuk berniaga???
Zalina terkedu dan memilih untuk tidak menjawab pertanyaan Peter itu dan cuba untuk buat-buat sibuk memilih application di apps store.
p/s: aku akan bawa buku "Kenangan di Puncak" di acara Art 4 Grabs hujung minggu ini.

Peter Al-Hamra : Flat untuk Kita

Peter Al-Hamra baru sampai ke sebuah tempat yang belum pernah beliau jejaki sebelum ini, iaitu selatan tanah air.  Peter sungguh teruja mengenangkan bahawa beliau akhirnya menjejakkan juga kakinya ke sebuah negeri yang sudah lama beliau ingin lawati.

Peter hadir ke selatan tanah air ini bertujuan untuk menghadiri sebuah event yang menarik.  Kebetulan, beliau juga sudah lama tidak bertemu rakan karibnya di universiti dulu, Watt. Maka, Peter merasakan ini adalah peluang terbaik untuk beliau menyelam sambil minum air. 

Sebaik turun dari bas, Peter disambut oleh Watt.  Watt pantas mempelawa Peter agar menginap di rumahnya sepanjang Peter berada di sini.  Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, dengan deras Peter mengangguk tanda setuju. 

Keluar dari terminas bas, Peter dialu-alukan oleh bandar besar ini dengan satu kesesakan jalan raya yang gila.  Peter masih berlagak tenang, kerana beliau tahu itu adalah resam tinggal di bandar besar, lebih-lebih lagi jika ia bersempadan dengan sebuah negara maju. 

Ketika menuju ke rumah Watt, Peter melewati sebuah kawasan elit yang sedang dan bakal dilimpahi dengan pelbagai kemudahan, keselesaan dan kemewahan.  Peter biasa nampak kawasan elit ini dihebahkan di dalam berita jam 8, hampir setiap malam.  Peter berasa sedikit kagum mengenangkan beliau berjaya melihat dengan mata kepalanya sendiri akan kemegahan kawasan baru ini.  Untuk kepastian, Peter bertanya kepada Watt, samada betul atau tidak, kawasan ini yang sering dimomokkan di dalam berita itu? Watt memberitahu inilah kawasan itu, kawasan yang dijangka akan memacu negeri ini menjadi sebuah negeri maju satu hari nanti.  Peter terus berasa kagum.

Mereka kemudian melewati sebuah kawasan perumahan mewah yang serba cantik.  Peter memandang sambil tidak berkelip biji mata.  Peter bertanya kepada Watt, tidak teringinkah beliau untuk membeli rumah di kawasan ini.  Watt menjawab, hampir lapan puluh peratus yang membeli rumah di kawasan ini adalah bukan penduduk negara ini, ia milik warga negara jiran yang diketahui umum, lebih mampu membeli hartanah mewah. 


Setelah hampir satu jam memandu, akhirnya Watt dan Peter sampai ke sebuah rumah flat yang begitu sarat dengan penghuninya.  Watt memberitahu, bahawa di sinilah dia duduk menyewa.  Peter membuka pintu kereta sambil berfikir “warganegara sendiri hanya mampu tinggal di rumah flat, manakala rumah teres dan banglo didirikan untuk mampu dibeli oleh warganegara asing”.  

p/s : tulisan ini juga boleh dibaca di www.yespepol.tumblr.com

Peter Al-Hamra : Tumpuan Perempuan

Setelah berminggu-minggu makan nasi bungkus, hari ini Peter mengambil keputusan untuk mengubah selera.  Dia berhajat untuk makan di sebuah medan selera yang sering menjadi tumpuan kakitangan kerajaan yang terlibat di dalam perkhidmatan kesihatan. 

Sampai sahaja di medan selera berkenaan, Peter nampak akan sebuah meja yang masih belum disinggahi oleh sesiapa.  Pantas, Peter melabuhkan punggung di atas kerusi plastik yang tersedia.
Selesai memberi order kepada pelayan yang bertandang, Peter mencapai senaskhah surat khabar yang berada di atas meja.  Nasib Peter baik, pelanggan-pelanggan yang berada di meja-meja sebelah lebih berminat bersembang sesama mereka berbanding membaca surat khabar.

Peter membuka halaman depan surat khabar arus perdana yang sering menyiarkan berita berat sebelah dan lebih memihak kepada satu pihak sahaja.  Peter membaca dengan teliti berita-berita yang disiarkan.

Peter tertarik akan sebuah berita yang memberitahu seorang pelakon lelaki berwajah tampan yang pernah digilai ramai gadis satu ketika dahulu sudah bernikah untuk kali kedua di selatan Thailand.  Peter pantas membuka akaun facebook di telefon pintarnya.  Seperti yang dijangka, berita itu sudah hangat di rangkaian social ini.  Peter dapat melihat, perempuan cukup terusik dengan berita ini.  Mereka memaki hamun, mencerca dan melemparkan perkataan yang bukan-bukan kepada si pelaku. 
Peter membelek pula di muka surat sebelah.  Ada satu berita yang menarik perhatian Peter.  Kisah seorang artis yang berkahwin dengan seorang pemain bola ternama.  Namun, rumah tangga mereka berantakan.  Lebih memilukan, si isteri ditinggalkan begitu sahaja oleh sang suami tanpa sebarang nafkah zahir atau batin selama hampir 2 tahun. Memeritkan.


Usai membaca kedua-dua berita itu, membuatkan Peter berfikir.  Peter berasa sedikit sangsi.  Mengapa perempuan berapi-api membela nasib seorang perempuan yang dimadukan di dalam berita pertama, tetapi diam membisu terhadap nasib seorang perempuan yang menjadi mangsa suaminya sendiri di dalam berita kedua? Pada pandangan Peter, sekurangnya perempuan di dalam berita pertama itu masih punyai suami, kesakitannya cuma perlu berkongsi kasih dengan orang lain, itupon dengan kaum sejenis dengannya. Berbanding nasib perempuan di dalam berita kedua, yang dibiarkan hidup terkontang kanting seorang diri, ternyata beliau lebih memerlukan pembelaan dari kaum sejenis dengan beliau.  Jujur, Peter tiada jawapan untuk itu.

p/s: cerita ini juga boleh dibaca di www.yespepol.tumblr.com