Peter AL Hamra : Senang Susah, Susah Senang

Ada masa, perkara susah itu datang terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan perkara senang.  Ada juga masa dan detik, perkara senang itu datang dahulu dan disusuli pula dengan perkara susah.  Ikut nasib dan apa yang telah ditetapkan oleh sang pencipta. 
     
Hari ini Peter AL Hamra dan Wan Yakudi bakal menempuh benda yang sama tetapi situasinya sedikit berbeza iaitu interview.  Kebetulan, Peter AL Hamra dan Wan Yakudi ditakdirkan untuk mendapat panggilan interview di hari yang sama.  Sudahlah sama kelas di universiti dahulu, menginap di rumah sewa yang sama, dan lebih menarik bergraduasi pun duduk sebelah-sebelah, kini interview pun di hari yang sama.  Mujur mereka mendapat panggilan interview di dua tempat yang berbeza, kalau tidak mungkin mereka akan menjadi rakan sekerja. 
     
Peter AL Hamra akan menghadiri panggilan interview di sebuah syarikat berstatus swasta manakala Wan Yakudi pula bakal menghadapi interview di sebuah jabatan kerajaan.  Besar perbezaan dia bila sebut swasta dan kerajaan ni.  Bermula daripada panggilan interview itu sendiri kita sudah boleh lihat perbezaan.  Seperti yang kita semua sedia maklum, hendak mendapat panggilan interview dari jabatan kerajaan itu sendiri sudah seperti menunggu bulan jatuh ke riba.  Tahun 2014 ini, ada kira-kira seratus ribu peluang pekerjaan disediakan oleh SPA, iaitu sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kemasukan kakitangan awam.
     
Jadi, Peter sedikit iri hati melihatkan Wan Yakudi yang mendapat panggilan interview untuk bekerja di jabatan kerajaan yang kita semua tahu cukup mewah dengan pelbagai jenis elaun, kemudahan dan pengecualian pembayaran pelbagai benda.  Itu belum termasuk kemudahan untuk membuat pinjaman bank.  Peter melihat kepada dirinya yang hanya mendapat panggilan interview di sebuah syarikat swasta yang semua orang tahu amat senang untuk didapati. 
     
Peter membawa segala sijil yang dia ada, begitu juga dengan Wan Yakudi.  Peter membawa segala ilmu pengetahuan yang dia tahu berkaitan dengan syarikat swasta ini, begitu juga dengan Wan Yakudi, Cuma Wan Yakudi lebih kepada menghafal segala nama menteri-menteri kabinet yang tidak ramai orang muda hafal.  Itu baru sebut nama menteri, belum lagi sebut kawasan parlimen yang diwakili oleh menteri-menteri tersebut, lagi la ramai orang tidak tahu.
     
Interview sudah bermula, Peter dan Wan Yakudi cuba menyembunyikan perasaan gementar di dalam tutur bicara masing-masing.  Mereka berdua cuba “menjual” diri mereka sebaik mungkin dengan harapan para penemuduga berpuas hati dan merasakan mereka berdua ini layak diberikan tempat sekaligus menepikan calon-calon lain.  Peter cuba menerangkan akan dirinya begitu, begini dan bersikap begitu dan begini.  Peter berusaha menonjolkan sisi baik kehidupannya manakala sisi gelap kehidupannya cuba ditenggelamkan jauh ke dasar seperti kisahnya yang pernah gagal satu subjek di universiti dahulu.  Begitu juga dengan Wan Yakudi, beliau cuba mengaitkan dirinya dengan segala perkataan baik-baik dan yang membawa maksud positif sedangkan di dunia reality, semua orang tau dia seorang yang pemalas, membesar dengan meniru dan lebih padu, suka menggunakan agama untuk menawan hati wanita.
     
Akhirnya, sesi interview sudah tamat, maka pulanglah kedua mereka dengan harapan yang menggunung agar dapat diterima bekerja sekaligus menamatkan status penganggur terhormat yang dipegang rapi selama ini.  Kadang-kadang, Peter berasa pelik dengan kehidupan.  Setiap masa, kita sentiasa sahaja berada di dalam perlumbaan.  Kita sentiasa ingin berlumba dan bersaing dengan orang di sekeliling kita.  Kita berlumba siapa yang lebih cerdik, kita berlumba siapa dapat kerja dahulu, kita berlumba siapa ada harta yang banyak dan lebih parah, kita berlumba siapa bertemu jodoh dahulu.
     
Selepas berminggu menanti, akhirnya ada berita baik menjengah kehidupan Peter AL Hamra dan Wan Yakudi.  Kedua-duanya berjaya di dalam interview sebelum ini dan akan dipanggil bekerja tidak lama lagi.  Girangnya bukan main lagi, kerana sedikit sebanyak apa yang dihajatkan semasa menyambung pelajaran dahulu sudah tercapai.  Boleh dikatakan kitaran hidup seseorang itu sudah hampir lengkap apabila berjaya mendapat pekerjaan walaupun status pekerjaan itu boleh berbeza-beza samada pekerjaan idaman atau sekadar pekerjaan untuk mencari pengalaman terlebih dahulu. 
     
Peter akan memulakan tugas di sebuah syarikat swasta dan selayaknya digelar kakitangan swasta manakala Wan Yakudi akan bekerja di sebuah jabatan kerajaan dan seharusnya digelar kakitangan awam.  Wan Yakudi tersengih mengenangkan pelbagai elaun yang bakal dinikmati oleh beliau yang tidak diterima oleh Peter.  Manakala, Peter kembali tersengih memikirkan jumlah bonus yang bakal diterima jika berupaya menunjukkan mutu kerja yang cemerlang manakala Wan Yakudi mencebik mengenangkan jumlah bonus yang bakal diberitahu oleh Menteri Kewangan, biasanya pada bulan Oktober. 
     
Genap sebulan bekerja, Peter semakin tertekan dengan kerjanya.  Muka semakin berkeruh, tiap-tiap hari mengeluh dan mula kerap pulang lewat kerana bebanan kerja yang banyak.  Wan Yakudi pula semakin seronok dengan kerjanya.  Banyak masa terluang yang dinikmati oleh Wan Yakudi, boleh keluar minum dalam tempoh yang lama dan jika mahu, keluar minum petang pun boleh.  Hasilnya, Wan Yakudi mengalami pertambahan berat badan yang merupakan satu indikasi kepada betapa tidak tertekannya Wan Yakudi menghadapi dunia pekerjaan di sektor awam. 

Wan Yakudi : Peter, amacam kerja, ok ke tak?

Peter : Stress dow, banyak giler kerja, aku macam dah tak tahan je ni.

Wan Yakudi : Arghh rileks ar Peter, kerja aku rileks giler, bukannya ada kerja sangat, kejap-kejap keluar mengulor, hahaha.

Peter : Syoknya, aku ni apatah lagi nak mengulor, nak balik on-time pun tak sempat kalau kau nak tau.

Wan Yakudi : Itulah kau, kerja lagi swasta, tengok macam aku, kerja kerajaan, kan rileks je, hahaha.  Kerja kerajaan ni boleh la kau ibaratkan macam, susah dahulu, senang kemudian.  Nak mendapatkannya tu memang susah, tapi sekali dapat tu, memang senanglah hidup kau, hahaha.  Macam kau kerja swasta, nak dapat tu memang senang, tapi bila dah dapat tu, haa nanti kau rasa la susah dia macamana.  Apa kau cakap tadi, selalu balik lambat? Kah kah kah.


Peter : %^&*%*%*%@#